0
Multiple Sclerosis di Malaysia
Posted by Unknown
on
Tuesday, May 17, 2011
in
Science Medicine
Salamalaykum wbt dan dobry vecer (sekarang waktu malam di Czech) kepada semua.
Saya pernah terfikir, penyakit-penyakit seperti Multiple Sclerosis, Systemic Lupus Erythematosus dan lain-lain yang saya pelajari dan kenal di Republik Czech ini, bagaimana dengan prevalencenya di Malaysia. Macam tiada je rakyat Malaysia yang ada penyakit ini. Tapi betul ke apa yang saya fikir tu? Jom baca artikel Utusan Malaysia di bawah.
SELEPAS disahkan menghidap penyakit saraf multiple sclerosis (MS) setahun lalu, kehidupan Nazatul Aqmar Nazri, 25 mula berubah.
Ketika berumur 14 tahun, dia mula mendapat tanda awal tentang MS. Kadang-kadang dia mengalami gangguan memori, percakapan sukar untuk berjalan dan badan sebelah kiri terasa berat. Lebih berat lagi, apabila dia tidak dapat mengawal pembuangan air kecil dan besar. Namun simptom tersebut kadang-kadang datang dan hilang. Namun, Nazatul tidak menghiraukan keadaan itu kerana ingin menumpukan pada pelajaran dan aktiviti sekolah.
Dia pernah dimasukkan ke wad dan doktor mendapati ada tanda putih di otaknya. Dia menolak apabila pihak hospital mahu mengambil air tulang belakang untuk memastikan punca sebenar penyakitnya.
Sepanjang sepuluh tahun, Nazatul berhadapan dengan tanda-tanda MS yang dianggapnya normal kerana ia hanya hadir buat sementara.
Bahkan, wanita muda yang bekerja sebagai pelatih pengurusan ini tetap aktif dalam acara sukan dan kebudayaan sekolahnya.
Perubahan
Melalui usia remaja dengan pelbagai cabaran, Nazatul sekali lagi diuji apabila dia terpaksa dibawa ke hospital pada tahun lalu dan menjalani ujian air tulang belakang dan Magnetic Resonance Imaging (MRI).
Dengan perasaan penuh debar, dia pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
Ketika disahkan MS, Nazatul tidak menyangka pada usia muda dia diserang penyakit saraf. Lebih membimbangkan, dia baru sahaja mahu membina karier.
Sejak itu, dia mula merasakan perubahan pada dirinya. Nazatul kerap diserang gangguan memori dan hilang ingatan.
"Jika seminggu MS menyerang saraf lidah saya, percakapan saya menjadi pelat. Jika ia mengganggu saraf tangan, saya tidak dapat memegang benda dengan betul. Saya terpaksa melupakan cita-cita saya sebagai tukang masak ketika itu," ujarnya yang kini mendapatkan rawatan ubat daripada Hospital tetapi tidak mampu menampung perbelanjaan ubat-ubatannya yang mencecah ribuan Ringgit Malaysia.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Begitulah penderitaan Nazatul yang tidak menghalangnya meneruskan kehidupan. Dia bersyukur kerana mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan.
Dia pernah dikatakan berjalan dengan sugar daddy gara-gara berpegangan tangan dengan bapanya ketika berjalan.
"Orang lain tidak tahu apa yang dialami oleh pesakit MS. Ada yang beranggapan kami mengada-ngada. Ini mungkin disebabkan penyakit ini tidak menyerang sepanjang masa tetapi boleh hadir secara tiba-tiba. Keluarga amat memberi sokongan kepada saya. Kalau saya berjalan dengan bapa, dia akan pegang tangan saya. Dia tahu saya mungkin tidak nampak atau tiba-tiba berasa kebas.
Namun, ada juga orang kutuk saya sebab jalan dengan kekasih tua. Tetapi saya dikelilingi kawan-kawan yang positif. Mereka sokong dan ada yang menyediakan keperluan saya apabila saya memerlukan bantuan," ujarnya dengan tenang.
Harapan
Selain rawatan daripada aspek ubat-ubatan, Nazatul turut mendapat khidmat nasihat dan motivasi yang membaik pulih kesihatan emosinya. Dengan sokongan rakan senasib sepertinya, dia lebih yakin dan kuat.
Kini Nazatul aktif dalam persatuan MS dan membantu pesakit lain dengan berkongsi pengalamannya.
"Saya harap orang ramai mendapat kesedaran MS pada peringkat awal. Jika penyakit ini dapat dikesan awal, masalah yang lebih serius dapat dikawal. Bagi pesakit sendiri, mereka tidak boleh berfikiran negatif. Sebaliknya, mereka perlu positif dan mengambil langkah untuk memulihkan keadaan. Misalnya, jika anda mungkin diserang masalah gangguan memeri, anda perlu catat segala keperluan atau aktiviti harian yang perlu dilakukan," katanya.
Punca
Dalam pada itu, ahli neurologi HKL, Dr. Shanti Viswanathan berkata, MS sebenar penyakit yang sukar dipastikan puncanya secara tepat. Ia adalah sejenis penyakit iaitu sel-sel daripada sistem imun badan pesakit sendiri menyerang lapisan luar saraf iaitu "myelin" yang mustahak untuk penghantaran dorongan mengakibatkan saraf itu itu tidak berfungsi dengan baik. Serangan ini boleh terjadi kepada saraf mata, otak atau saraf tunjang dan serangan ini adalah berulang-ulang. Pada mulanya, pesakit boleh sembuh dengan sepenuhnya daripada serangan sistem imun ini tetapi lama kelamaan badan pesakit tidak dapat berbuat demikian dan pesakit ditinggalkan dengan kecacatan atau disabiliti seperti masalah berjalan, melihat atau kebas-kebas anggota badan.
"Jika seseorang doktor mengesan kelainan pada pesakit mungkin simptom yang berulang, adalah wajar beliau merujuk pesakit ini kepada pakar neurologi. Setiap anggota masyarakat mendapat kesedaran mengenai wujudnya penyakit ini dan betapa pentingnya didiagnosakan dengan tepat dan awal serta meneriam rawatan yang optima.
''Kini terdapat ubat-ubatan yang baru yang walaupun tidak dapat menyembuhkan penyakit ini dapat mengawalnya supaya risiko serangan berulang keatas system saraf dapat dielakkan dan dengan itu risiko kecacatan seperti lumpuh kaki mahupun kurang penglihatan dapat di kurangkan. Memang tidak dapat dinafikan kos ubatan ini adalah tinggi dan setiap pesakit perlulah diperiksa sama ada sesuai dimulakan ubat ini atau tidak," jelasnya.
Sementara itu, Persatuan MS akan mengadakan kempen kesedaran, 'I Walk for MS' terbuka untuk pesakit MS dan orang ramai. Kempen ini akan berlangsung pada 22 Mei 2011 di Taman Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen MS, orang ramai boleh melayari www.mswalk.com.my
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
adawiyah.koh@utusan.com.my